Berikut ialah penjelasan tentang cara produk pencerah kulit berfungsi dan apakah yang dimaksudkan dengan ‘produk pemutih’ yang sebenar.
Adakah setiap kali tertera perkataan ‘pemutih’ pada sesuatu produk kecantikan membuatkan anda jadi skeptikal? Kami pasti, setiap kali melihat perkataan ‘pemutih’ ia akan menimbulkan persoalan tentang bagaimana produk tersebut bertindak balas pada kulit si pemakai. Berikut adalah penjelasan yang boleh kami kongsi bagi menjelaskan bagaimana sesuatu produk pencerah itu bertindak balas pada kulit individu. Selain itu artikel ini juga turut menjelaskan bagaimana produk pencerah boleh merawat parut jerawat dan hiperpigmentasi secara efektif.
Pemutih Tidak Semestinya Memutihkan
Tahukah anda bahawa, produk pemutih yang berasal dari Korea (K-beauty) lazimnya bertindak sebagai produk pencerah. Ia langsung tidak melibatkan proses ‘meluntur’ kulit si pemakai. Secara literalnya, memang ada sesetengah produk di pasaran bertindak untuk memutihkan. Kami tidak menafikan bahawa produk sedemikian memang wujud dalam pasaran. Walau bagaimanapun, ramai di luar sana masih keliru dalam menterjemah maksud pencerah yang sebenarnya.
Sembilan daripada sepuluh produk yang mendakwa sebagai produk pemutihan bermaksud ia membantu meratakan tona kulit dan mencerahkan kulit secara keseluruhan. Walaupun sesetengah pihak mendakwa bahawa kenyataan yang digunakan itu agak mengelirukan, penting untuk anda tahu bahawa dengan pemakaian produk ‘K-beauty’ tertentu, ia langsung tidak menimbulkan kesan yang tidak baik kepada kulit si pemakai.
Bagaimanakah Produk Pencerah (atau kebanyakan produk pemutih) Bertindak:
Produk pencerah boleh dikelaskan kepada tiga kategori berbeza:
- Menghalang penghasilan sel pigmen
- Menghalang pemindahan pigmen
- Mempercepatkan proses pembaharuan sel
Contohnya, vitamin C, hydroquinone, kojic acid, arbutin dan ekstrak Licorice menghalang tyrosinase, iaitu enzim penting yang meningkatkan melanin kulit (pigmen yang menghasilkan warna pada kulit). Jadi, sekiranya anda menggunakan produk berasaskan bahan-bahan tersebut, pada asasnya ia boleh mengurangkan pengeluaran pigmen.
Supaya anda lebih faham : Jika kulit anda ditumbuhi jerawat, ia boleh merosakkan kulit. Ini akan menyebabkan lebih banyak melanin dihasilkan sekali gus menyebabkan hiperpigmentasi dan parut jerawat terjadi. Bahan-bahan yang terkandung dalam produk pencerahan bertindak mengurangkan penghasilan pigmen, membantu mencegah dan memudarkan parut jerawat tersebut.
Bahan lain seperti niacinamide, membantu memperlahankan pemindahan melanin pada sel kulit yang sekali gus berkesan menghalang hiperpigmentasi. Produk sedemikian penting kerana ia bertindak membantu mencegah pigmentasi yang tidak diingini dari berlaku.
Kategori ketiga pula menggunakan beta dan asid alpha hydroxy untuk merawat parut jerawat dengan mempercepatkan proses pembaharuan sel. Ia membantu untuk menyingkirkan sel kulit mati lama dan diganti dengan lapisan yang baharu. Inilah yang menyebabkan warna kulit anda jadi cerah dan sekata
Produk Yang Disarankan Untuk mendapatkan kesan yang maksimum daripada produk pencerah, sebaiknya anda perlu mempelbagaikan penggunaan bahan-bahan pencerahan (seperti yang disarankan di atas) dalam rutin penjagaan kulit wajah. Ia membantu untuk jadikan kulit anda lebih sihat dan bersinar.
Kebanyakan produk pemutih di pasaran mengandungi beberapa bahan pencerah di dalam satu produk. Contohnya gabungan antara niacinamide dengan ekstrak tumbuhan pencerah semula jadi seperti camu-camu (tinggi kandungan vitamin C) yang membantu melawan masalah pigmentasi sejak dari awal.
Bagi mendapatkan produk yang boleh merawat parut jerawat secara lebih efektif, produk tinggi kandungan vitamin C adalah yang terbaik untuk anda cuba. Ingat, anda boleh mencuba pelbagai kaedah rawatan untuk mendapatkan hasil yang anda inginkan. Tetapi, pastikan anda menggunakan produk tersebut secara berselang seli. Lebih-lebih lagi jika kulit anda menunjukkan reaksi tertentu. Malah, jika anda ingin melihat hasil efektif dalam mengurangkan pigmentasi pada wajah, pastikan anda menggunakan produk penjagaan kulit wajah itu secara konsisten dan berdisiplin. www.noirbeautyworld.com
Fahamkan! Produk pencerahan kulit sering disalah ertikan, khususnya dalam dunia ‘K-beauty.’ Terma pemutih sering mereka gunakan sebagai ‘nama’ untuk rangkaian produk mereka. Jadi, apa yang perlu anda ingat di sini ialah : ia bukan bermaksud memutihkan kulit. Sebaliknya, ia berkesan atau bertindak balas terhadap kulit wajah yang mempunyai hiperpigmentasi. Produk ini membantu meratakan tona kulit wajah di samping mencerahkannya dan BUKANNYA MEMUTIHKAN KULIT!
Apakah produk pemutih kegemaran anda. Boleh kongsikan dengan kami di ruangan komen?
Baca Artikel Sebelum ini: